Tuesday, June 18, 2013

CERITA Seorang Anak MELANAU (Episod 3)

Zaman Kanak Kanak

Bercerita berkaitan zaman kanak kanak, saya merasakan bahawa saya adalah antara beribu lagi insan di dunia yang terlepas untuk menikmati keadaan sebanar menjadi seorang kanak kanak. Mempunyai seorang kakak dan tiga orang adik pada usia baru menjangkau tujuh tahun mungkin satu nikmat pada insan lain tetapi tidak pada saya diwaktu itu.  Kesukaran hidup keluarga pada masa itu membuatkan saya teramatlah kurang menikmati zaman saya sebagaimana kanak kanak yang lain yang puas bermain sebagaimana yang sering dikatakan ; Zaman kanak kanak adalah zaman kita menjadi raja.

Bertempat di Pulau Bruit, Daro, Mukah, Sarikei, Sarawak mungkin menimbulkan persoalan kepada anda. Di manakah tempat ini?. Pulau Bruit merupakan pulau yang kedua besar selepas pulau bangi di Sabah. Dek kerana terlalu terpencil dan jauh dari Bandar besar maka hampir 99.9 peratus rakyat Malaysia tidak mengenali pulau ini walaupun keadaanya jauh lebih baik pada masa sekarang. Tambahan pula dengan kemudahan awam yang serba kekurangan seperti tiada kemudahan air bersih dan jaringan jalan raya meneruskan tradisi pulau ini sebagai pulau tidak dikenali di Malaysia malah ramai di Sarawak sendiri turut tidak menenali pualu ini. The Lost World of Pulau Bruit.


Tanggungjawab
Di usia yang sebagitu muda, saya  telah memikul tanggungjawab menjaga adik adik bersama kakak tatkala ayah dan ibu seawal selepas subuh dan hanya kembali setelah atau hampirnya berkumandang azan maghrib. Saya tidak pernah menyalahkan kedua ibu bapa saya dalam hal ini apatah lagi untuk berdendam. Pada saya, kedua orang tua sayalah yang menjadi inspirasi aku dalam meneruskan kehidupan. Kepayahan hidup mereka menanamkan azam agar satu hari keluarga kami akan terlepas dari cengkaman kemiskinan walaupun pada masa itu saya kurang pasti bagaimana saya hendak melakukannya.

Sebalum ke sawah padi, ibu telah awal lagi bangun untuk menyediakan makanan untuk kami, setelah kembali ke rumah pada waktu rehat persekolahan. Hendak membekalkan wang belanja jauh sekali. Selepas itu ibu membuat kuih iaitu apam balik dan  karipap yang akan saya jual dari rumah ke rumah sebelum melangkah masuk ke sekolah. Apam balik siap dipotong empat dengan satu bahagian harganya rm 0.20. menjadi masalah juga kerana ramai yang berebut utk membeli bahagian tengah berbanding bahagian hujung. Ada masanya kuih yang di jual tidak habis dengan alasan mereka yang kemudian tidak berminat mahu membeli bahagian hujung apambalik. Agak pelik kan, namun itulah andtara catatan yang ada dalam hidup saya.

Setibanya di sekolah saya biasanya berasa penat setelah menjelajah seluruh pelusuk kampong untuk menjual kuih sebagai pendapatan tambahan kepada keluarga. Saya melakukan kerja ini bermula dari darjah satu hinggalah ke darjah empat. Atas tugasan ini jugalah saya mendapat gelaran 'pondan' di sekolah memandangkan tidak ada lelaki yang sanggup menjual kuih dari rumah kerumah pada masa itu kerana secara tradisinya ia adalah tugasan yang hanya dilakukan oleh wanita. Malah aku rasakan sehingga sekarang, terlalu jarang lelaki melakukan kerja ini.

Kalau diikutkan pada mahu atau tidak, sudah pastinya jawapanku adalah tidak mahu melakukannya. Namun, keperitan hidup memaksa dan Alhamdulillah aku bersyukur kerana aku telah berjaya melawan desakan sekeliling untuk menjual kuih dan itu pastinya adalah halangan besar dalam usaha saha membantu keluarga.

Aku masih ingat apambalik ibu dikatakan sedap oleh orang kampong pada masa itu. Berintikan kacang tumbuk dan  gula sebagai bahan utama, aku masih ingat ibu menabur sedikit Milo sebagai inti apambalik. Milo yang sering menjadi sasaran ‘curi’ adik beradik termasuk saya pada awalnya. Setelah beberapa kali berlaku ibu kerap menyorok tin milo dibahagian yang amat sukar untuk kami cari. Dapatlah ibu berjimat sedikit. Kalau tidak tentunya ia akan menjadi santapan anak anak yang kiranya tidak perlu memandangkan ada perkara lain yang lebih perlu untuknya.

Tugasanku tidak habis di situ. Setelah selesai sekolah pada tengah hari. Tugasan aku diteruskan dengan memikul tanggungjawab menjaga adik adik kecil pula. Sehinggalah ke lewat petang. Setelah ibu balik dari sawah, ibu terpaksa menyediakan makanan untuk kami walaupun telah penat bekerja seharian. Namun semua itu ibu lakukan dengan tabah.


Pernah satu ketika, dek kerana kepenatan yang amat sangat. Ibu tersilap memasukkan ajinomoto kedalam air teh minuman pagi buat kami sekeluarga. Tambahan lagi di awal pagi bukanlah ada cahaya elektrik kerana elektrik di kapung pada masa itu hanyalah pada jam 6.30 petang sehingga jam 12 malam. Selepas wakti itu maka pelita minyak tanahlah yang menjadi peneman.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...