Tuesday, June 18, 2013

CERITA Seorang Anak MELANAU (Episod 2)

Kampung Penipah, Pulau Bruit

Kampung Penipah, Pulau Bruit pastinya asing buat anda semua. Namun disinilah catatan ini bermula. Kampung Penipah, Daro, Mukah, Sarawak, Malaysia hehehe adalah sebuah penempatan terpencil yang jauh dari suara pembangunan apatah lagi realiti pembangunan di bumi nyata. 

Terletak di sebuah pulau yang lebih sesuai dikenali sebagai sebuah delta di muara Sungai Rajang iaitu sungai terpanjang di Malaysia ini bukanlah satu tempat yang menjadi idaman mereka yang rindukan kemajuan. Tetapi pada saya, apa pilihan yang ada. Alhamdulillah... saya tetap bersyukur walaupun dalam serba kekurangan.

Di sini, pembangunan hanyalah sekadar mimpi indah bagi kebanyakan warganya. Namun, sedikit demi sedikit pada masa sekarang pembangunan mula menjalar masuk ke Pulau Bruit seiring dengan arus pembangunan global walaupun tidak setara dengan usia kewujudannya. 


Terdapat banyak kampung di Pulau Bruit ini namun biarlah saya menceritakan lebih kepada kampung dimana saya lahir, kampung Penipah. Kampung yang pada asalnya dikenali sebagai Sungai Nipah (menurut cerita orang orang tua) kerana terdapatnya banyak rumpun nipah yang kamudiannya dieja secara rasmi sebagai Penyipak dalam dialek melanau, dan sekarang kekal dengan panggilan Penipah yang lebih merujuk kepada nama yang berasal dari ‘pengusaha nipah’.

Namun, perusahaan nipah atau lebih spesifiknya penghasilan GARAM Nipah serta nira nipah atau lebih dikenali sebagai TUAK dalam bahasa tempatan semakin kurang diwarisi golongan muda yang memilih untuk berhijrah jauh ke bandar termasuk Kuala Lumpur. Begitu juga dengan penghasilan gula melaka hasilan dari nira nipah yang dimasak atau dikenali sebagai Gula APONG. Selain itu, penghasilan penyapu lidi nipah serta penghasilan atap nipah juga semakin ditelan zaman. Namun, penggunaan daun nipah untuk memanggang ikan atau lebih dikenali sebagai 'PAIS' masih menjadi pilihan malah menjadi kerinduan mereka yang berada diperantauan termasuk diri saya.

Apapun, bukanlah itu yang menjadi intipati atau bahan utama yang aku ingin ceritakan. Apa yang lebih penting untuk dikongsi di sini adalah kemunduran perkampungan ini dari sudut pembangunan dan infra serta MINDA. Seperti yang telah diceritakan sebelum ini warga Penipah sekitar tahun 1997 sangat tidak mementingkan pelajaran. Berada dalam kepompong yang diselaputi lilitan bebenang sutera yang telah menebal dan semakin menebal.

Pun begitu, tidaklah saya hendak menyalahkan mereka, kerana pastinya ada alasan dan sebab kenapa keadaan itu berlaku dan pada saya, alasan itu adalah tekanan hidup dan kemiskinan para penduduknya pada masa itu.

Waktu itu juga perkampungan ini serta perkampungan sekelilingnya terkenal dengan pernikahan atau perkahwinan pada usia muda. Malah ada rakan sekelas saya berkahwin pada usia 15 tahun dan pada masa saya memikirkan usaha untuk memecahkan kepompong pendidikan mereka ini tengah sibuk dengan anak anak. Ini semua merupakan cabaran untuk saya meyakinkan keluarga dan masyarakat akan hasrat saya untuk menuju ke UNIVERSITI yang sebutan dan bunyinya sangat asing pada masyarakat di masa itu. Malah, tidak mustahil untuk saya katakan hasrat saya itu dianggap keterlaluan serta melampaui zaman.

Pekerjaan utama penduduk yang merupakan seorang nelayan dan petani pasti dapat anda gambarkan bagaimana. Apatah lagi keadaan ini berlatarkan keadaan Malaysia amnya dan Sarwak khasnya pada tahun 1990an. Di saat petani dan nelayan dikenali sebagai insan yang hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Baiklah... Tidak perlu rasanya saya ceritakan lebih lanjut akan latar belakang perkampungan saya kerana anda semua akan mengetahuinya secara tidak langsung dengan penceritaan lain yang akan saya utarakan selepas ini. Anda akan lebih mengenali kampung terpencil ini dengan beberapa aktiviti utama yang akan saya ceritakan pada babak berikutnya.

Keluarga

Berbicara hal keluarga, kami terdiri daripada 8 adik beradik yang terdiri daripada lima perempuan dan tiga lelaki, Ibu, Ayah datuk dan nenek. Namun dalam menempuhi liku hidup yang perit, saya, arwah kakak dan adik lelaki nombor tiga adalah kalangan adik beradik yang pasti mengingati akan laluan getir kehidupan sejak bergelar kanak kanak.

Hubungan antara kami adik beradik tidaklah begitu akrab kerana masing masing dengan cara dan perangai tersendiri. Arwah kakak pada zaman kanak kanaknya amat gemar bermain bersama dengan kawan kawan dan tentunya jarang melekat di rumah, dan begitu juga dengan adik nombor 3. Boleh dikatakan mereka ini jarang berada di rumah. Manakala saya adalah orang yang sering berada di rumah walaupun daya tidak pernah beranggapan saya ketinggalan dari sudut keseronokan sebagai kanak kanak.

Sebagai kanak kanak tentunya melekat dirumah bukanlah sesuatu yang mendi kegemaran. Namun, entah bagaimana saya bagaikan faham akan kehendak keluarga memerlukan saya berada di rumah untuk membantu apa yang perlu. Di zaman kanak kanak saya digelar pondan oleh rakan sebaya keran banyak melakukan kerja wanita yang saya rasaken perlu dan sekadar termampu. namun, gelaran itu kekal gelaran dan saya telah membuktikan sebaliknya.

Sumber pendapatan

Sumber pendapatan utama keluarga saya atau lebih spesifik nya kedua orang tua saya pada masa itu adalah dengan bertani iaitu sebagai penanam padi yang tentunya pendapatannya adalah sekali setahun. Itupun andainya da setelah pendapatan itu dibayar hutang untuk mengerjakan sawah padi yang dipinjam untuk membeli baja, racun dan sebagainya, termasuk upah 'menyalik' (mennanam padi) 'mabau' (merumput) dan 'mupur' (menuai) kos ini juga termasuk nyunyut padai (memijak padi) atau proses mengasingkan padi dari tangkai sebellum di jual.

Setak itulah yang saya ingat, namun saya yakin banyak lagi usaha yang telah ayah lakukan seperti kerja balak dan nelayan untuk menyara hidup kami.

Menumpang dan berpindah randah

Sebagai anak yang masih kecil ketika perkara ini berlaku. Saya tidaklah berapa ingat dan penceritaan ini adalah sedikit sebanyak yang diceritakan oleh bonda tercinta yang jelas tidak mahu bercerita panjang dan enggan untuk mengingati kisah pahit dalam kehidupannya. Pun begitu, ianya cukup memberikan gambaran betapa mereka sukar dan terhimpit dalam membesarkan kami adik beradik.

Tidaklah perlu untuk saya bercerita panjang akan hal ini kerana ia lebih kepada mengaibkan orang lain yang ada disekeliling pada masa itu. Namun, kami diperlakukan sebegini jelasnya kerana mereka lebih senang dan mewah berbanding dengan keluarga saya yang sangat dalam kesempitan di waktu itu.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...