Musim menanam dan menuai Padi
Musim menuai adalah antara musim yang paling aku nantikan sebagaimana juga kanak kanak yang lain di kampung. Apa tidaknya pada musim menui sahajalah aku dapat merasakan nikmat berbelanja wang, walaupun sekadar untuk membeli mee segera happy dan jagung tin Ligo yang sangat jarang dapat di nikmati oleh seorang kanak kanak seperti aku. Selain itu pada musim padi inilah juga ada warga kampong yang membuka kedai burger dan menjual air cendol dan ABC. Al maklumlah musim menuailah musim yang memberikan warga kampong sedikit rezeki yang lebih dari biasa.
Pada musim menuai biasanya aku lari dari rumah yang tugasannya adalah menjaga adik adik untuk mencari mereka yang memerlukan buruh untuk "memijak’ padi (mengasingkan padi dari tangkai). Untuk pengetahuan semua, di Sarawak pada masa itu proses memisahkan padi dari tangkainya dilakukan dengan cara memijak. Pada usia yang masih muda tentunya tapak kaki yang menjadi alat utama untuk memijak padi masih lagi nipis. Sebagai seorang yang masih muda aku hanya mampu untuk menghabiskan dua guni sehari dengan usaha yang bersungguh sungguh yang pastinya membawa kepada kesakitan yang amat pada tapak kaki pada malamnya.
Namun semua itu akan hilang setelah mendapat upah RM 2.00 iaitu RM 1.00 untuk setiap guni. Kesakitan itu juga semakin reda setelah berjaya untuk membeli ‘burger’ yang pastinya banjo (berger telur) dan dikongsi bersama adik adik dirumah. Sambil mentelaah pelajaran pada malamnya, burger yang dibeli di nikmati dengan perlahan lahan setelah dibahagikan sama banyak dengan adik adik. Walaupun kami mengulangkaji pelajaran pada malamnya, namun, pelajaran bukanlah matlamat utama warga kampong pada keseluruhannnya pada masa itu. Menghantar anak anak kesekolah adalah sekadar untuk boleh membaca. Semua warga kampong pada masa itu bermatlamat untuk mendapatkan duit walaupun bukan untuk bermewah. Maka tidak hairanlah ramai yang belajar sekerat jalan walaupun hanya di sekolah rendah. Aku akan bindangkan lanjut hal persekolahan ini kemudian.
Namun pada musim ini, saat yang paling lumayan adalah apabila mengikuti arwah nenek mendapatkan / menuai padi ‘sepuri’. Sepuri dalam istilah melanau adalah merujuk kepada anak padi yang berbuah setelah musim penuaian utama habis di tuai. Buahnya tidaklah banyak dan biasanya bersaiz agak kecil berbanding bual pertama atau musim utama. Walaupun kerjanya agak berat bagi seorang kanak kanak kerana terpaksa menggalas 'tiwai’ (bakul yang digalas dibahagian belakang) yang menjadi tempat padi selepas diketam dikumpul. Bahu pastinya akan kemerahan menanggung berat padi tuaian.
Namun semua itu di tahan untuk mendapatkan duit lebih. Biasanya selepas menuai padi ‘sepuri’. Hasil tuaian akan terus di galas balik kerumah yang jaraknya hamper sejam perjalanan pada laluan yang becak dan tidak rata. Kegembiraan aku semakin terasa malah kepenatan akan hilang setelah hasil sampai di rumah. Hasil tuaian terus dipijak dengan cepat dan terus dijual. Hasilnya pasti sekitar RM 15- 20 ringgit dan merupakan hasil yang amat lumayan pada masa itu. Pada saat itulah akan terbayang untuk membeli sesuatu yang sangat jarang dapat dijamah seperti janggung Ligo (jagung dalam tin), ayam dalam tin dan tentunya burger daging. Pada masa ini jugalah aku dengan sedikir bangga membawa adik adik berjalan bersama dan biasanya minum abc di gerai ‘segera’ (wujud pada musim ikan atau musim padi sahaja). Suatu yang menjadi kebanggaan pada aku pada masa itu. Sanggat bangga dan puas dapat ‘sponsor’ adik adik. Sponsor menjadi istilah yang menjadi kebiasaan dalam komuniti kampong bagi menggantikan istilah belanja.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment